Seperti beberapa acara yang lepas, malam ini aku isi dengan menghirup udara dingin tengah malam sekitar kampus.
Segalanya seperti biasa, sehingga aku tiba di satu sudut. Kawasan parkir kereta, yang mana selalunya tiada kereta yang parkir di situ.
Tapi aku sedikit hairan, pabila kali ini ada sebuah kereta mengisi salah satu kotak parkir. Sebuah Kelisa merah.
Dan semakin aku menghampiri, Kelisa merah menyalakan lampunya. Gear ditolak, dan Kelisa merah keluar dari kawasan parkir. Tergesa-gesa.
Oh, ada orang rupanya dalam Kelisa merah. Pemandunya lelaki dan di sebelahnya, tentu perempuan.
Berdosakah aku kerana mengganggu dua insan membuktikan cinta, atau dapat pahalakah aku kerana berjaya menghalau syaitan,
aku tak pernah kisah.
Seperti beberapa acara lepas, aku tetap kagumkan sinar rembulan yang seperti biasa, tak pernah gagal menerangi malam-malam aku.